Header Ads

KIPAS


DI SEBUAH pejabat cawangan Jabatan Daya Usaha, pendingin hawa utama telah rosak sejak dua bulan lalu. Kipas meja cuma berpusing malas, seolah-olah letih menanggung keluhan.

Hari-hari makin terik, kerja makin bertimbun, dan wajah-wajah keringat semakin muram. 
Yang menghidap penyakit, makin kerap ke klinik. Yang mengandung, makin pucat. Syurga tempat kerja tidak lagi kondusif. Tapi di bilik hujung koridor, terdengar deruan angin dingin. Bilik boss lengkap dengan pendingin hawa. 

"Keselesaan penting demi ketepatan keputusan," katanya dalam satu mesyuarat tergempar yang berlangsung selama tiga minit secara atas talian. 

Walaupun dia hanya berada dua pintu dari bilik mesyuarat. Dia boss yang bijak bermain kata-kata dan sesekali turun padang mengambil hati. Lakonannya cukup menjadi. Dia rajin mengipas. Bukan kipas angin,tapi mengipas ego para atasan dalam pengurusan tertinggi. 

Setiap projek dibentang indah dengan grafik cantik dan slogan kebersamaan dan kejayaan, walaupun pelaksanaannya mengorbankan keringat orang bawahan tanpa memikir kebajikan. Suatu hari, sistem pejabat mengalami gangguan. Semua komputer padam, termasuk alat pendingin bilik boss. 

Panas mula meresap ke dalam biliknya, memadamkan senyuman tiruan. Dalam kekalutan itu, orang bawahan mula bekerja di luar bangunan, di bawah pokok rendang, mencari bayu semula jadi yang mendamaikan. Di situlah tercetus idea sebuah projek “Kerja Luar, Lega Kepala”. 

Ironinya, projek itu tular di media sosial dan mendapat perhatian ibu pejabat. Seperti biasa boss bijak dengan strategi licik mengambil kredit. Tapi tak lama. Pengarah ibu pejabat datang tanpa notis dan duduk bersila bersama staf bawah pokok. 

"Udara di sini segar," katanya. 

Boss terdiam. Kipasnya mati. Jawatannya juga hampir-hampir ikut padam. 


TAMAT

Catatan: Cerita ini adalah karya Ahmad Noh. Skilo Media hanya menyiarkan sahaja. Segala hak cipta kekal milik pengarang.

 ------------------------------------------------------------------------------------------

Biodata Pengarang:

Ahmad Noh. Kelahiran Bumi Tok Gajah. Menulis untuk berkongsi rasa mendidik manusia. Apa yang ditulis itulah apa yang diperhatikan. Betul tulis betul. Kalau salah tulis salah. Baginya penulisan ini adalah sebuah perjalanan untuk kita bertemu tuhan. Coretkan yang bermanfaat agar pembaca terus belajar untuk mengerti erti seorang hamba.



Tiada ulasan