AMNESIA
RUMAH setinggan kecil itu cuma berbilik air sebuah. Dinding papan nipisnya menyimpan bau miskin bandar. Peluh, sabun cap kapak dan air kumbahan yang bergenang tidak bergerak kerana longkang bersumbat sampah sarap.
Siapa bangun dahulu, maka dialah yang dapat mandi dahulu. Itulah hukum tidak bertulis yang lebih kejam daripada tahanan tanpa bicara.
Pagi ini Zayn bangun tersayup. Mimpi Qaleesya, anak jiran sebelah, masih melekat di dinding hipokampus seperti poster Ogy Ahmad Daud dari tahun 80-an yang enggan tanggal. Dalam mimpi itu Qaleesya tersenyum, lalu tiba-tiba menjadi wap air dan meresap ke air liur basinya.
Zayn menghela nafas. Dunia nyata tidak pernah seindah mimpi, apatah lagi di penempatan yang sesak dengan kemiskinan. Satu jam berlalu. Tahi mata dan air liur basi di tepi mulutnya sudah kering berkerak bagaikan tanah bendang diserang kemarau.
Kesabaran Zayn pun tiba di penghujung, dan ia bakal meletus seperti gunung berapi. Diketuknya pintu bilik air bertubi-tubi bagai tumbukan orang mabuk – tanpa strategi, penuh emosi.
“Oiii, cepatlah,” teriaknya, separuh marah separuh merayu.
Pintu tidak dibuka. Cuma suara Zikri dari balik pintu, tenang seperti ahli falsafah yang baru menemui makna hidup melihat wajah sendiri di cermin retak.
“Seperti tikus-tikus setinggan bersaiz sebesar kucing yang menyangkakan mereka adalah kucing, aku juga demikian,” ujar Zikri.
“Merasa was-was dengan identitiku… adakah aku adalah aku atau Henry Cavill. Itulah sebabnya lama sekali aku bercermin tiap kali aku bercermin.”
Zayn terdiam.
Kata-kata itu mengalir deras, membasuh akalnya yang berkarat. Mungkin benar. Di sini, manusia sering ingin lupa siapa diri mereka sebenar. Hidup bersesak dan tubuh yang lelah akibat membuat tiga pekerjaan; antara impian yang kabur dan angan-angan yang kosong, mereka ingin lupakan segalanya.
Zayn berlari keluar rumah. Mencari ruang selesa buat penghilang rasa melugai. Di bawah pokok kelapa tua, dia kembali menghadam kata-kata Zikri tadi.
Semangat. Eskapisme yang memotivasikan diri. Biarpun sebenarnya, dia hanya berwajah awam. Utopia atau amnesia? Amnesia bukan tentang lupa semua ingatan, tetapi ingatan-ingatan yang terpilih.
Seperti ingatan tentang kerakusan mulut kota raya yang memolok marhaen lantas mengunyah perlahan-lahan; penuh nikmat.
TAMAT
Catatan: Cerita ini adalah karya Ibnu Din Assingkiri. Skilo Media hanya menyiarkan sahaja. Segala hak cipta kekal milik pengarang.
Biodata Pengarang:
IBNU DIN ASSINGKIRI merupakan nama pena Sanusi bin Din. Berjaya menghasilkan tujuh kumpulan puisi dan tiga kumpulan cerpen. Menerima empat hadiah sastera negeri kategori buku puisi, puisi eceran dan cerpen eceran.
Post a Comment