OPAH
OPAH, tak tahu kenapa, tapi sejak kebelakangan ini Mommy cepat naik angin. Kadang-kadang Aidid baru nak tanya satu soalan pun, Mommy dah marah. Mommy cakap dia penat, dia stres dan dia banyak kerja.
Pernah ada satu masa, Mommy tengah bercakap dengan Aidid waktu makan. Aidid tak jawab dengan cepat, terus Aidid kena tengking. Alasan Mommy, dia seakan bercakap dengan tunggul. Tapi bukan ke Mommy sendiri yang selalu ajar Aidid untuk kunyah 44 kali semasa makan? Aidid cuma ikut apa yang Mommy ajar. Tapi Aidid tetap kena marah juga.
Masa itu, Aidid terdiam lama. Nasi sama kuah gulai kari ayam pun jadi tawar dalam mulut. Aidid cuma mampu tenung pinggan.Tak tahu mana silapnya. Sejujurnya Aidid bukan nak melawan Mommy. Tapi kadang-kadang apa yang Aidid buat semua salah di mata Mommy.
Kenapa ya Opah?
Aidid tahu Mommy itu satu-satunya anak perempuan Opah. Mungkin Opah boleh tegur Mommy sendiri. Tapi Aidid tahu Mommy sayang Aidid. Cumanya mungkin dia terlupa cara nak tunjukkan kasih sayang itu.
Mungkinlah. Aidid mengandai saja. Mana tahu Opah boleh buat sesuatu. Atau paling kurang, ingatkan Mommy yang tidak semestinya jerkahan kepada seorang anak itu jalan penyelesaiannya.
Tapi Opah...
Ada satu malam, Aidid terjaga dari tidur sebab Aidid haus. Kemudian Aidid pun ambil air kosong di dapur. Masa lalu depan bilik tidur Mommy, pintu tak tertutup rapat. Waktu itu, Mommy bersandar pada dinding sebelah pintu. Skrin telefon Mommy terang sangat dalam gelap. Jadi Aidid intailah senyap-senyap.
Rupanya Mommy sedang tengok gambar-gambar Opah. Gambar Opah di KLIA sewaktu Opah hendak menunaikan haji. Aidid tengok, Mommy seka air matanya perlahan-lahan. Mommy fikir Aidid tak nampak.
Kemudian ada satu malam pula, Mommy tidur di bilik tidur tetamu seorang diri sambil peluk baju kurung Opah.
Aidid faham. Sebab dia pun pernah menjadi seorang anak sebelum menjadi seorang emak.
TAMAT
Catatan: Cerita ini adalah karya Mudin Haiqal. Skilo Media hanya menyiarkan sahaja. Segala hak cipta kekal milik pengarang.
Biodata Pengarang:
Mudin Haiqal
Post a Comment