Header Ads

HUJAN

BOLA LUSUH itu tersangkut dalam lopak air. Aku dan kawan-kawan berkerumun ke situ. Kami saling berebut. Ada yang tersungkur mencium tanah. Ada yang meluru macam pemain ragbi. Dan ada juga yang berdiri tercegat seperti anak patung Chucky.

Guruh berdentum di atas kepala. Aku tak peduli. Air memercik ke mata, aku biarkan.
Kaki terasa makin berat. Macam sedang pakai terompah atok. Selepas entah berapa kali bersusah payah, akhirnya bola itu berjaya dikuis keluar.

Kini bola itu di kakiku. Aku pusing badan bila lawan mula merampas. Seperti gaya Ronaldinho aku melepasi barisan pertahanan lawan.

Sewaktu aku mahu merembat bola ke arah Bob, tiba-tiba budak itu berundur selangkah demi selangkah. Air mukanya seakan terjumpa Cikgu disiplin.
Gawang terbuka luas.

Aku angkat kening macam The Rock; musuh tradisi Stone Cold Steve Austin dalam WWF. Tiba-tiba telingaku ditarik. Pedih dan panas. Padang senyap. Aku segera menoleh. Penjaga gol aku juga hilang mengikuti jejak kawan-kawanku yang lain. Apa yang pasti, di belakangku kini ada Pak Misai.

“Balik!”

Jantungku berdegup kencang. Entah kenapa, hari itu aku rasa...larian bapaku lebih pantas daripada David Beckham.

Dalam hujan aku menjerit!


TAMAT
-----------------

Tiada ulasan