Header Ads

IRAN

MULUTNYA terlopong seketika mendengar cerita Man Rojak. Wajah lelaki itu ditenung lama.

"Seriuslah? Itukan syiah bro."

Man Rojak membatu seketika. Dalam masa akalnya ligat memikirkan sama ada nak cuci otak budak berbaju hitam ini pakai sabun cuci jamban atau cuci pinggan. Perlahan bibir Man Rojak senyum. Kemudian dia tenang menyoal.

"Kau tengok filem Iran tak? Tak tengok, jangan banyak bunyi. Tonton dulu. Baru boleh nilai!"

Muka budak itu berubah masam seketika. Seperti muka lebai yang baru disaman kerana menabur fitnah ke atas musuhnya.

Man Rojak ulang lagi. Jarinya mengetik-ngetik meja. Di sebelahnya ada teh o panas. Masih berasap.

"Dah pernah tonton filem Iran?" Suara Man Rojak mula mengendur.

Geleng.

"Dah tu, macam mana kau boleh cakap filem Iran, filem Syiah?"

Lidah budak itu kelu. Kemudian Man Rojak cuci mindanya lagi.

"Siapa yang cakap filem Iran semuanya Syiah? Tunjukkan aku minit ke berapa ada ayat hasut kau ikut Syiah? Aku nak tahu juga. Takut aku tertidur masa tonton filem tu. Judulnya apa? Siapa pengarahnya?"

Bertubi-tubi pertanyaan Man Rojak lemparkan sehinggakan budak itu tewas. Pandannya beralih ke lantai. Di kakinya terdapat seekor kucing kurap; mengiau dicampakkan makanan.
Kemudian budak itu angkat muka. Jauh membuang pandangan di meja tebar roti canai.

"Kawan dan... Ostad aku yang cakap." Suaranya tersangkut-sangkut seperti orang tua yang baru berjinak nak belajar pegang kitab al-Quran.

"Kepala paip kau!"

"Janganlah marah aku."

"Padanlah bangsa aku senang kena kencing. Senang sangat telan ludah."

"Erk..."

"Dah lah tak tonton. Kemudian cakap pengarah Iran sebarkan fahaman Syiah. Setahu aku cerita Iran lagi jujur dari cerita Malaysia."

"Maksud kau?"

"Dalam bilik, mak kau pakai tudung depan bapak kau?"

"Erk..."

"Tak tau pulak aku kalau mak bapak kau bunuh setan pakai pakaian. He he he."

"Jauh betul kau punya melencong bang."

"Jadi mak kau pakai tudung lah dalam rumah? Nak mandi pun pakai tudung?"

Budak itu diam menikus.

"Memang betul-betul Taliban bapak kau. Mesti pergi kerja naik kuda. Salut betul aku!"

Budak tadi renung sisa yang ada dalam pinggan mee rojak. Man Rojak menarik-narik janggutnya yang sejemput. Selang seketika, minumnya dihirup sehingga kontang.

TAMAT

------------------------------------------------------------------------------------------
Pengarang Cerita : Taufik Khadri

Tiada ulasan